Sabtu, 28 November 2015

PAS TELUK INTAN ISTIQAMAH ZIARAH KEBAJIKAN



TELUK INTAN, 28 November - Melaksanakan tanggungjawab kebajikan merupakan salah satu agenda PAS. Begitulah juga dengan PAS Kawasan Teluk Intan terus beristiqamah melakukan usaha ziarah kebajikan.

Baru-baru ini, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan kawasan dan PAS Cawangan Batak Rabit telah melakukan usaha ziarah kebajikan di beberapa buah rumah di sekitar Batak Rabit dekat sini. Ziarah rumah ke rumah tersebut melibatkan penduduk India.
Ustaz Lutfi menziarahi seorang warga emas yang terlantar sejak lima tahun lalu akibat sakit belakang.

Menurut Pengerusi Lujnah, Ustaz Lutfi Shamsudin, ziarah tersebut melibatkan kaum India sekitar Kg. Batak Rabit yang uzur, ibu tunggal dan hidup susah. Ia merupakan salah satu usaha rutin lajnah ini di beberapa tempat sekitar Teluk Intan.

Kali Raj (kanan sekali) bersama Ustaz Lutfi dan lain-lain menjayakan ziarah kebajikan.
"Bagi program ziarah kali ini, pihak lajnah telah mendapat bantuan seorang pemuda India, Kali Raj,30, yang membantu memghubungi dan membawa rombongan ke rumah-rumah. Pihak lajnah mengucapkan terima kasih kepada beliau yang telah sudi membantu usaha ziarah tersebut," tambah Ustaz Lutfi lagi.

Turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Teluk Intan, Sdr. Rahmat Maliki, Ketua PAS Cawangan Batak Rabit, Hj. Baharudin Omar serta beberapa orang ahli jawatankuasa Pemuda kawasan dan cawangan Batak Rabit.

intanhijau.blogspot.com

Selasa, 17 November 2015

PAS SEBUAH GERAKAH DAKWAH, TARBIYAH DAN SIASAH



TELUK INTAN, 16 November - PAS merupakan sebuah gerakan dakwah, tarbiyah dan politik yang merupakan gerak kerja asas parti d setiap peringkat di seluruh negara. Demikian ditegaskan oleh Ustaz Salehuddin Nasir semasa menyampaikan pembentangan selaku naqib jemputan di dalam Liqa Fikri PAS Kawasan Teluk Intan. Majlis telah diadakan di Dewan Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI), Kg. Padang Tembak dekat sini.

"Tidak boleh kita meninggalkan salah satu sama ada dakwah, tarbiyah atau politik. Ia perlu berjalan seiring demi menghasilkan gerakan yang mantap dan tidak pincang. Amat malang jika ada orang yang hanya menumpukan hanya kepada gerakan politik semata-mata sehingga melupakan gerakan dakwah dan tarbiyah yang menjadi tonggak sesebuah gerakan Islam dan parti," tambah beliau yang merupakan Yang Dipertua PAS Gombak.

"Akibatnya ialah kemenangan itu hanya dilihat dari segi keampuhan perancangan strategi pilihan raya sehingga kita melupakan pemberi kemenangan iaitu hanya Allah SWT."

Selain itu, beliau yang juga merupakan ahli Perhubungan PAS negeri Selangor menyatakan bahawa perjuangan politik PAS ialah politik Islam iaitu perjuangan yang berasaskan perjuangan para rasul dan nabi yang berpandukan al Quran, hadith, ijmak dan qias seperti termaktub di dalam perlembagaan PAS itu sendiri.

Akhir sekali, beliau menegaskan bahawa istiqamah bukan sahaja bermaksud terus di dalam jamaah Islam tetapi istiqamah juga di dalam mempertahankan pimpinan parti apabila diserang.

"Kita mesti bangkit mempertahankan pimpinan dan dasar parti. Tunjukkan izzah kita kepada musuh-musuh Islam sesuai dengan PAS sebagai sebuah parti Islam yang lama bertapak di negara ini serta diiktiraf di luar negara," tambah beliau.

intanhijau.blogspot.com

Ahad, 15 November 2015

MAJLIS KONVOKESYEN PASTI TELUK INTAN MERIAH



TELUK INTAN, 15 November - Pusat Asuhan Tunas Islam atau PASTI merupakan sebuah institusi pendidikan sekolah yang terulung di negara ini. Ia semakin mendapat sambutan dalam kalangan ibu bapa.

Baru-baru ini, PASTI Kawasan Teluk Intan telah mengadakan Majlis Konvokesyen 2015 bertempat di Dewan Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI) di Kampung Padang Tembak dekat sini. Majlis konvokesyen telah dirasmikan oleh Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Hj. Mohd. Azhar bin Rafiei.
Sdr. Mohd. Najib menyampaikan ucapan selaku Pengerusi PASTI kawasan.
Semasa menyampaikan ucapan, Pengerusi PASTI Kawasan Teluk Intan Sdr. Mohd. Najib M. Nour, majlis konvokesyen peringkat kawasan ini telah mengumpulkan tujuh unit PASTI di seluruh Teluk Intan yang terdiri daripada PASTI Ibnu Sina, PASTI Ibnu Khaldun, PASTI Al Khairiah, PASTI Al Hidayah, PASTI Ibnu Rusyd, PASTI Al Falah dan PASTI Nurul Iman.

"InsyaAllah, pihak pengurusan kawasan sedang berusaha menubuhkan sebuah unit PASTI untuk sesi hadapan, " tambah beliau.

Sebelum itu, beliau menyatakan bilangan pelajar PASTI di Teluk Intan ialah seramai 286 orang dan 22 orang guru.
Hj. Mohd. Azhar menyampaikan ucapan perasmian.
Sebahagian yang hadir.
Sementara itu, Hj. Mohd. Azhar mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada para ibu bapa yang telah menghantar anak-anak mereka ke PASTI yang bagi beliau merupakan satu pilihan yang tepat. Ini kerana PASTI di mana melaksanakan konsep aqidah merentasi kurikulum bakal melahirkan murid-murid yang melihat sesuatu itu berdasarkan pertimbangan aqidah.

"Saya juga amat menghargai para guru PASTI yang begitu banyak berkorban semasa mendidik pelajar. Bukan senang mendidik anak-anak umur sebegini yang memerlukan banyak kesabaran. Terima kasih kepada semua guru PASTI," tambah beliau lagi.
Antara persembahan menarik murid-murid PASTI.
Selepas itu, majlis diceriakan lagi dengan persembahan menarik oleh murid-murid PASTI yang menunjukkan bakat dan kemahiran murid-murid seperti demonstrasi solat sunat dhuha, bacaan sajak, nasyid dan sebagainya.
Saf guru PASTI.

Kemudian, penyampaian anugerah, hadiah dan cenderamata sebagai acara kemuncak majlis telah disempurnakan oleh Hj. Azhar kepada murid-murid yang berjaya untuk pelbagai kategori seperti kedudukan terbaik, sahsiah terbaik, anugerah khas guru pakar dan anugerah terbaik kawasan.

Turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan, Sdr. Rahmat Maliki dan Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan, Ustaz Rijal Abu Bakar.

intanhijau.blogspot.com

Sabtu, 7 November 2015

PAS CAWANGAN BATU TIGA DAN DHPP TELUK INTAN SAMPAIKAN SUMBANGAN KEBAJIKAN



TELUK INTAN, 7 November - Slogan "PAS For All" bukan sekadar slogan malah ia telah direalisasikan sejak dahulu lagi dalam gerak kerja PAS di setiap peringkat seluruh negara. Ia membuktikan bahawa PAS sebuah parti inklusif dan relevan di negara ini. 

Baru-baru ini, PAS Cawangan Batu Tiga Cicely bersama Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Teluk Intan mengadakan majlis penyampaian sumbangan kepada kaum India. Majlis telah diadakan di Markaz PAS Cawangan Batu Tiga Cicely dekat sini.

Sdr. Surya menyampaikan ucapan.
Menurut Pengerusi DHPP Teluk Intan, Sdr. Surya Narayanan, seramai 20 orang yang terdiri daripada kaum India telah menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan dapur seperti beras, gula, garam dan sebagainya.

"Kebanyakan yang menerima sumbangan ini terdiri daripada warga tua, orang kurang upaya dan golongan miskin yang tinggal di sekitar kawasan Batu 3, Batu 3 Setengah dan Jalan Laksamana, " kata beliau yang juga merupakan Pengerusi DHPP Perak.

Di dalam ucapan, beliau telah menyatakan bahawa perlunya masyarakat India menyedari bahawa hudud yang diperjuangkan PAS banyak memberi manfaat kepada negara kerana boleh mengurang kadar jenayah negara yang semakin berleluasa sekarang.
Hj. Mohd. Azhar Rafiei menyampaikan ucapan.
Sebelum itu, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Teluk Intan, Hj. Mohd. Azhar Rafiei turut menyampaikan ucapan. Beliau menyatakan Islam menggalakkan umatnya berlaku baik sesama manusia. Namun begitu, dalam pergaulan, masyarakat bukan Islam perlu faham beberapa perkara yang boleh dan tidak boleh mengikut syariat Islam.


"Namun begitu, di dalam satu hal, Islam menyatakan tiada paksaan dalam beragama. Masing-masing kaum berhak mengamalkan agama masing-masing sebagaimana yang ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah SAW," tambah beliau lagi.

Turut hadir ialah Bendahari PAS Kawasan Teluk Intan Hj. Mohd. Anuar Sudin dan isteri, Ketua Wanita DHPP Perak Pn. Punitha serta pemangku Ketua PAS Cawangan Batu Tiga Cicely, Sdr. Rahmat Maliki.

intanhijau.blogspot,com

Ahad, 1 November 2015

PAS TELUK INTAN ZIARAH MANGSA RIBUT



TELUK INTAN, 1 November - PAS sentiasa istiqamah dalam menangani permasalahan rakyat. Prihatin akan kebajikan rakyat merupakan agenda salah satu agenda perjuangan PAS walaupun dalam serba kekurangan.

Baru-baru ini, PAS Kawasan Teluk Intan melalui Lujnah Kebajikan telah menziarahi sebuah rumah yang telah rosak bumbungnya akibat ribut di Kampung Esso dekat sini. Menurut Pengerusi Lujnah Kebajikan, Ustaz Mohd. Lutfi Shamsudin, tujuan lawatan adalah untuk meninjau keadaan bumbung rumah tersebut yang perlu diganti dengan atap yang baharu.





"Selain itu, kami juga mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan kebajikan kepada pemilik rumah berkenaan sebagai tanda simpati daripada pihak PAS kawasan," tambah beliau.


"InsyaAllah, tindakan susulan kepada lawatan ini ialah untuk menggantikan beberapa atap yang telah rosak secepat mungkin memandangkan musim hujan sudah tiba," ujar beliau lagi.

Sementara itu, pemilik rumah berkenaan, Puan Faridah binti Haji Musa, 56, berasa terharu akan kehadiran rombongan PAS Kawasan Teluk Intan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak PAS yang sudi datang ke rumah saya serta memberi sumbangan barangan dapur. Saya juga berasa terharu atas keazaman PAS untuk menggantikan beberapa atap rumah yang telah rosak,"katanya.

intanhijau.blogspot.com

SUKAN PASTI KAWASAN TELUK INTAN 2017 MERIAH

TELUK INTAN , 17 September - Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Teluk Intan telah mengadakan Sukan PASTI peringkat Kawasan Teluk Inta...