TELUK INTAN, 16 November - PAS merupakan sebuah gerakan dakwah, tarbiyah dan politik yang merupakan gerak kerja asas parti d setiap peringkat di seluruh negara. Demikian ditegaskan oleh Ustaz Salehuddin Nasir semasa menyampaikan pembentangan selaku naqib jemputan di dalam Liqa Fikri PAS Kawasan Teluk Intan. Majlis telah diadakan di Dewan Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI), Kg. Padang Tembak dekat sini.
"Tidak boleh kita meninggalkan salah satu sama ada dakwah, tarbiyah atau politik. Ia perlu berjalan seiring demi menghasilkan gerakan yang mantap dan tidak pincang. Amat malang jika ada orang yang hanya menumpukan hanya kepada gerakan politik semata-mata sehingga melupakan gerakan dakwah dan tarbiyah yang menjadi tonggak sesebuah gerakan Islam dan parti," tambah beliau yang merupakan Yang Dipertua PAS Gombak.
"Akibatnya ialah kemenangan itu hanya dilihat dari segi keampuhan perancangan strategi pilihan raya sehingga kita melupakan pemberi kemenangan iaitu hanya Allah SWT."
Selain itu, beliau yang juga merupakan ahli Perhubungan PAS negeri Selangor menyatakan bahawa perjuangan politik PAS ialah politik Islam iaitu perjuangan yang berasaskan perjuangan para rasul dan nabi yang berpandukan al Quran, hadith, ijmak dan qias seperti termaktub di dalam perlembagaan PAS itu sendiri.
Akhir sekali, beliau menegaskan bahawa istiqamah bukan sahaja bermaksud terus di dalam jamaah Islam tetapi istiqamah juga di dalam mempertahankan pimpinan parti apabila diserang.
"Kita mesti bangkit mempertahankan pimpinan dan dasar parti. Tunjukkan izzah kita kepada musuh-musuh Islam sesuai dengan PAS sebagai sebuah parti Islam yang lama bertapak di negara ini serta diiktiraf di luar negara," tambah beliau.
intanhijau.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan