Ahad, 17 September 2017

SUKAN PASTI KAWASAN TELUK INTAN 2017 MERIAH

TELUK INTAN, 17 September - Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Teluk Intan telah mengadakan Sukan PASTI peringkat Kawasan Teluk Intan. Ia merupakan acara tahunan yang menggabung kesemua tujuh buah PASTI unit dalam kawasan Teluk Intan. Majlis telah diadakan di Padang Majlis Perbandaran Teluk Intan dekat sini.

Menurut Pengarah Program Sukan PASTI, Sdr. Najib Nour, sukan kali ini melibatkan tujuh buah PASTI yang ada di Teluk Intan tetapi ia dibahagikan kepada empat pasukan rumah sukan yang diwakili dengan Rumah Hijau, Rumah Kuning, Rumah Biru dan Rumah Ungu.






Acara bermula dengan perbarisan kontijen rumah sukan yang melibatkan semua pelajar PASTI. Tetamu kehormat yang juga merupakan perasmi sukan, Dr. Ahmad Ramadzan Ahmad Daud telah menerima perbarisan hormat para pelajar PASTI. Dr. Ahmad Ramadzan juga merupakan Penyelaras Parlimen Teluk Intan PAS Kawasan Teluk Intan. Turut sama hadir ialah Penyelaras DUN Changkat Jong, Hj. Mohd. Azhar Rafiei.

Perasmi, Dr. Ahmad Ramadzan menyampaikan ucapan.

Sebanyak 15 acara telah dipertandingkan dalam sukan tahun ini. Antaranya ialah lari pecut 25 meter, lari berganti-ganti, lari bawa bola gergasi, tarik bola dalam gelung, kasut gergasi dan isi air dalam botol. Para peserta telah menunjukkan semangat sukan yang tinggi sambil diberi sokongan oleh para ibu bapa yang hadir sejak awal pagi lagi.

Sukan PASTI bagi tahun ini telah menyaksikan Rumah Hijau menjadi johan keseluruhan.

intanhijau

LANGKAH BERSAMA HARI MALAYSIA

TELUK INTAN, 16 September - PAS Kawasan Teluk Intan dengan kerjasama PAS Batu Tiga telah menganjurkan Langkah Bersama Hari Malaysia sempena Hari Malaysia. Program tersebut telah diadakan di padang permainan Taman Cicely dekat sini.


Program Langkah Bersama Hari Malaysia merupakan acara penutup bagi Sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat PAS Kawasan Teluk Intan. Ia berkonsepkan aktiviti berjalan sejauh tiga kilometer di sekitar kawasan Taman Cicely.

Menurut Pengarah Program, Sdr. Rahmat Maliki, seramai 120 orang telah mendaftar sebagai peserta. Mereka datang dari kawasan perumahan Taman Cicely selain datang dari kawasan sekitar Teluk Intan.

"Walaupun ia merupakan anjuran PAS tetapi sambutan orang ramai begitu menggalakan kerana peserta terdiri daripada pelbagai peringkat umur bermula dari seawal umur bayi hingga kepada peringkat umur warga emas. Apa yang istimewa, terdapat juga peserta bukan Melayu iaitu kaun Cina yang turut serta program ini," tambah beliau yang juga merupakan Ketua Cawangan Batu Tiga.
Para peserta mendaftar.
Senaman memanaskan badan.
Program bermula dengan senaman memanaskan badan dan bacaan doa. Seterusnya, semua peserta menyanyikan lagu Negaraku. Selepas itu, aktviti berjalan bermula di mana acara pelepasan peserta dilakukan oleh Ketua Pemuda PAS Kawasan Ustaz Aiman.

Bacaan doa diketuai oleh Imam Mohamad Baharin Harudin, imam Surau Diri Jumaat Cicely.
Para peserta diiringan dan dikawal oleh anggota Unit Amal kawasan untuk memastikan perjalanan lancar dan tiada kejadian tidak diingini berlaku. Di sepanjang perjalanan, para peserta mengibarkan bendera Jalur Gemilang kepada para penduduk sekitar.

Acara pelepasan peserta.



Salah seorang peserta bukan Melayu.
Perjalanan tamat di padang permainan dengan berehat dan menikmati jamuan yang disediakan. Selepas itu, acara cabutan bertuah telah diadakan. Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh Penyelaras DUN Changkat Jong, Hj. Mohd. Azhar Rafiei.


intanhijau

Isnin, 17 Julai 2017

MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI PAS KAWASAN TELUK INTAN

TELUK INTAN, 15 Julai - Sempena bulan Syawal yang mulia, PAS Kawasan Teluk Intan telah mengadakan Majlis Rumah Terbuka. Majlis telah diadakan di Dewan Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI), Kg. Padang Tembak dekat sini.

Menurut Pengarah Program, Ustaz Mohd. Lutfi Shamsudin, seperti tahun sebelumnya, majlis rumah terbuka tersebut melibatkan semua pihak iaitu PAS kawasan, dewan-dewan serta cawangan-cawangan.

"Antara persiapannya termasuklah dari segi penyediaan juadah raya yang diberikan tanggungjawab kepada semua dewan dan cawangan," jelas beliau yang merupakan Pengerusi Lujnah Kebajikan PAS Kawasan Teluk Intan.

Menurut beliau lagi, pelbagai juadah istimewa telah disediakan seperti lemang, nasi impit, roti canai dan mi kari. 
Majlis dimulai dengan bertahlil.


Majlis bermula dengan majlis tahlil perdana. Seterusnya, para hadirin menikmati juadah raya. Kehadiran begitu menggalakkan di mana para pengunjung bersama ahli keluarga masing-masing. 

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran wakil Badan Perhubungan PAS Negeri Perak, Ustaz Misbahul Munir Hj. Masduki yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak serta ahli jawatankuasa PAS Pusat.


Di dalam ucapan, Ustaz Misbah menyentuh tentang makna Syawal itu sebagai bulan kemenangan setelah melalui selama sebulan madarasah Ramadan. Beliau berharap, hasil tarbiyah Ramadan ini dapat diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja pilihan raya yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Sebelum itu, beberapa pimpinan kawasan turut menyampaikan ucapan. Antaranya, Yang Dipertua kawasan Ustaz Ismail Che Nik, Penyelaras DUN Changkat Jong Hj. Mohd. Azhar Rafiei dan Penyelaras Parlimen Teluk Intan Dr. Ahmad Ramadzan Ahmad Daud.
Ustaz Misbah menyampaikan ucapan mewakili PAS Perak.
Hj. Azhar.
Dr. Ahmad Ramadzan.
Ustaz Ismail Che Nik menyampaikan ucapan.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran pimpinan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Teluk Intan yang diketuai Sdr. Suria Narayanan.
Pimpinan DHPP kawasan turut hadir.
Hj. Azhar memberi duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.
Kanak-kanak turut bergembira dengan menerima duit raya yang disampaikan oleh Hj. Mohd. Azhar.

Kehadiran begitu baik sehinggakan di penghujung majlis, masih ada lagi yang hadir. Semoga majlis tersebut dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat dan ahli-ahli parti.

intanhijau2017

Selasa, 27 Jun 2017

PAS TELUK INTAN ANJUR JAMUAN AIDILFITRI ANAK PERANTAUAN

TELUK INTAN, 28 Jun - Hari Raya Aidilfitri menggamit anak perantau Teluk Intan balik kampung untuk menyambutnya bersama keluarga. PAS Kawasan Teluk Intan telah mengambil kesempatan mengadakan jamuan bersama anak-anak perantau. Majlis telah diadakan di kediaman keluarga almarhum Ustaz Abdul Hir, Kg. Padang Tembak dekat sini.

Sebahagian anak perantau bergambar bersama pimpinan kawasan.

Menurut pengarah program, Ustaz Aiman, program tersebut diadakan bertujuan untuk meraikan anak-anak perantau yang kebanyakannya para pelajar di IPT atau yang bekerja di luar Teluk Intan.

"Alhamdulillah, kita telah berjaya mengumpulkan lebih hampir 50 orang anak perantau dalam kalangan pelajar IPT lelaki dan perempuan. Kita juga ingin mendekatkan mereka dengan pimpinan PAS di samping menerima perkembangan terbaru PAS khususnya di kawasan ini," ujar beliau.

Majlis dimulai dengan para tetamu menikmati jamuan yang disediakan. Kemudian, ucapan pimpinan parti telah disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Teluk Intan, Sdr. Rahmat Maliki, Exco Dewan Pemuda PAS Perak, Sdr. Nurhafizul Badrul Hisham.
Sdr. Nurhafizul menyampaikan ucapan.
Hj. Azhar menyampaikan ucapan.
Seterusnya, Penyelaras DUN Changkat Jong merangkap Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Teluk Intan, Hj. Mohd. Azhar Rafiei telah menyampaikan ucapan. Beliau mengucapkan terima kasih atas kehadiran para anak perantau ke majlis tersebut. Beliau turut mengambil kesempatan kepada anak perantau bertindak segera mendaftar diri sebagai pengundi kerana pllihan raya akan berlangsung tidak lama lagi.

"Dalam suasana yang serba menekan rakyat, adakah kita sekadar mengeluh dan melihat sahaja apa yang berlaku ? Suasana tidak akan berubah. Ia hanya akan berubah jika kita tukar kerajaan. Untuk menukar kerajaan kita perlu mengundi. Jadi, saya menyeru kepada semua agar mendaftarkan diri sebagai pengundi," tambah beliau.

Majlis turut diserikan dengan nyanyian nasyid oleh sekumpulan anak perantau. Turut hadir ialah pimpinan PAS Kawasan Teluk Intan, Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat PAS Kawasan.

intanhijau2017

Rabu, 21 Jun 2017

LAGI PROGRAM KEBAJIKAN PAS KAWASAN TELUK INTAN SEMPENA RAMADAN SYAWAL

TELUK INTAN, 21 Jun - Agenda kebajikan merupakan salah satu aktviti yang sering dilaksanakan oleh PAS Kawasan Teluk Intan melalui Lujnah Kebajikan. Saban tahun program kebajikan sempena Ramadan dan Syawal diadakan menunjukkan keprihatinan PAS terhadap permasalahan rakyat.
Sumbangan di Kg. Padang Tembak.
Sehubungan itu, baru-baru ini pihak PAS Kg. Padang Tembak dan PAS Batu Tiga telah mengadakan program sumbangan kebajikan. Ia adalah kerjasama dengan Lujnah Kebajikan kawasan yang diketuai oleh Ustaz Lutfi Shamsudin.

Di Kg. Padang Tembak, sebanyak 24 orang penduduk kampung tersebut telah menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula dan lain-lain. Manakala di Taman Cively, seramai 12 orang penduduk sekitar turut menerima sumbangan.

Sumbangan yang diberikan adalah berupa barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula dan lain-lain.
Sumbangan di Taman Cicely.
Di Kg. Padang Tembak, sumbangan telah disampaikan oleh Penyelaras DUN Changkat Jong Hj. Mohd. Azhar Rafiei. Turut hadir ialah Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Ismail Che Nik dan Ketua cawangan, Hj. Abidin Sharif. Sementara itu, di Taman Cicely, sumbangan telah disampaikan oleh pimpinan PAS cawangan. Ia merupakan sumbangan terakhir sebelum umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri.

"Semoga sumbangan yang disampaikan dapat membantu penduduk dalam persiapan raya nanti," ujar Hj. Azhar.

intanhijau 2017

AHLI DHPP HADIR MAJLIS IFTAR PAS TELUK INTAN

TELUK INTAN, 20 Jun - Setiap minggu di sepanjang bulan Ramadan, PAS Kawasan Teluk Intan menganjurkan majlis berbuka puasa. Majlis tersebut merupakan salah satu aktiviti dalam Ihya Ramadan. Majlis telah diadakan di Dewan KOMPASTI di Kg. Padang Tembak dekat sini.

Menurut Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Hj. Mohd. Azhar Rafiei, majlis berbuka seperti itu diadakan setiap minggu hari Selasa. Selepas berbuka, kami akan mengerjakan solat Maghrib, Isyak serta solat sunat tarawih dan witir.
Hj. Azhar bersama Sdr. Kumaresan menikmati juadah berbuka puasa.
"Majlis diakhiri dengan penyampaian tazkirah oleh penceramah jemputan. Cuma pada minggu terakhir ini, majlis berbuka puasa agak isitimewa kerana telah dihadiri ahli-ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Teluk Intan," kata beliau.
Majlis perjumpaan DHPP dengan PAS Teluk Intan.
Kehadiran pimpinan DHPP Teluk Intan adalah untuk menghadiri perjumpaan dengan PAS Kawasan Teluk Intan. Perbincangan lebih banyak kepada pengukuhan organisasi serta gerak kerja pilihan raya. Taklimat telah disampaikan oleh Pengarah Pilihan Raya kawasan, Hj. Farid al Jarumi. Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Ismail Che Nik dan Penyelaras DUN Changkat Jong, Hj. Mohd. Rafiei  turut menyampaikan ucapan meraikan kehadiran DHPP kawasan. 


DHPP Teluk Intan telah diketuai oleh Sdr. Kumaresan selaku Timbalan Ketua DHPP Teluk Intan serta Setiausaha dan ahli jawatankuasa.

Selepas perjumpaan, mereka semua menikmati jamuan berbuka puasa bersama-sama ahli PAS yang lain. Terjalin hubungan mesra antara kedua-dua belah pihak.

intanhijau 2017

SUKAN PASTI KAWASAN TELUK INTAN 2017 MERIAH

TELUK INTAN , 17 September - Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Teluk Intan telah mengadakan Sukan PASTI peringkat Kawasan Teluk Inta...