Rabu, 16 Mac 2016

PAS-Ikatan Melestari Blok Ketiga


Hari ini tanggal 16 Mac 2016 menyaksikan sejarah ditatah dengan mempersaudarakan PAS sebagai sebuah parti Islam di Malaysia dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) yang merupakan sebuah parti multiracial pimpinan Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Gandingan PAS-IKATAN telah membentuk satu sekretariat untuk melestarikan persaudaraan kedua parti dengan persefahaman politik, lantas menggerakkan agenda perubahan ke arah membina Malaysia Sejahtera berlandaskan politik yang matang.

Agenda utama yang diperjuangkan oleh PAS-IKATAN ialah memulihkan negara, pemimpin dan rakyat yang rosak dek kerana rasuah, salahguna kuasa dan perpecahan dalam kalangan rakyat ekoran perbedaan ideologi politik yang dianut. Ia adalah sebuah perjuangan yang turut menepati tuntutan Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini.

Menariknya gandingan PAS-IKATAN ini akan membentuk blok ketiga dalam peta politik tanah air. Berperanan besar untuk menamatkan kebergantungan rakyat kepada satu pihak sehingga menjadikan pihak tersebut angkuh dengan dominasi mereka. Pada masa yang sama, PAS-IKATAN pula akan memastikan sengketa dan perpecahan yang merugikan rakyat dapat diatasi dengan sebaik mungkin.

PAS-IKATAN akan terus komited untuk:

a) menghentikan politik perkauman, politik dendam, politik tindas dan politik pilih bulu.

b) menyuburkan politik hubung baik (politik enggagement), politik penyelesaian dan politik rundingan.

c) menolak ekstrimisme dan diktatorship dalam kepimpinan.

Meskipun berbeza parti, ideologi dan dasar perjuangan, IKATAN sebagai sebuah parti multiracial tidak menolak dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Sebaliknya menghormati perjuangan PAS dan bersetuju isu pelaksanaan syariat Islam diurus menerusi saluran demokrasi sebagaimana yang telah diusahakan oleh PAS selama ini.

Tindakan setengah pihak dan media yang mula menggerakkan saraf mereka untuk melagakan PAS dan IKATAN pada hari pertama gandingan mereka dimeteraikan dengan memainkan isu hudud, adalah sangat tidak bertanggungjawab malah disifatkan sebagai tindakan tidak celik politik matang.

Hanya adu domba dan propaganda murahan yang suka mereka lakukan untuk melariskan media mereka, sedang tindakan itu hanyalah merosakan usaha baik yang mahu digerakkan oleh PAS-IKATAN di mata masyarakat awam yang banyak bergantung kepada laporan media.

Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir selaku Presiden IKATAN telah menegaskan pada sidang media bersama YB Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Presiden PAS di Hotel Puteri Park tengah hari tadi bahawa IKATAN tidak pernah menolak undang-undang Islam yang diperjuangkan oleh PAS, sebaliknya menganggap kini beban adalah kembali kepada kerajaan yang memerintah sementara mereka memiliki majoriti di parlimen, setelah PAS telah pun melunaskan tanggungjawabnya dengan usaha memperkasa mahkamah syariah di parlimen.

PAS melihat isu hudud yang dijadikan peluru sepanjang zaman untuk menyerang dan merosakkan reputasi PAS tidak akan berkesan untuk digunakan bagi memisahkan gandingan PAS-IKATAN yang baru sahaja memulakan kerjasama politiknya. PAS memperingatkan semua pihak khasnya war lord yang berada di belakang media tertentu agar tidak memecah belah dan melemparkan fitnah kepada PAS kononnya PAS kini meninggalkan prinsip perjuangan. Sebaliknya prinsip perjuangan PAS akan terus dijulang dan dihormati oleh semua rakan seperjuangan.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 16/3/2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SUKAN PASTI KAWASAN TELUK INTAN 2017 MERIAH

TELUK INTAN , 17 September - Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Teluk Intan telah mengadakan Sukan PASTI peringkat Kawasan Teluk Inta...