TELUK INTAN, 23 Mac - Program tarbiyah parti dapat mengelakkan ahli-ahli parti daripada salah faham terhadap agenda parti. Demikian ditegaskan oleh Setiausaha Badan Perhubungan Negeri Perak, YB Ustaz Mohd. Zawawi Abu Hassan. Beliau menyatakan demikian di dalam majlis Liqa Fikri PAS Kawasan Teluk Intan selaku naqib jemputan. Majlis diadakan di Dewan KOMPASTI, Kg. Padang Tembak dekat sini
"Akibat kesalahfahaman dan kekeliruan akan agenda parti, bukan sahaja ahli malahan ada pimpinan parti yang turut terkeliru dan akhirnya mereka gugur dalam perjuangan Islam. Inilah realiti yang berlaku di dalam PAS dalam beberapa bulan yang lalu," tambah beliau yang juga merupakan ADUN Semanggol.
Oleh itu, ahli parti perlu sedar dan faham akan tiga agenda utama parti iaitu agenda dakwah, agenda tarbiyah dan juga agenda siasah. Malangnya, ada kalangan ahli dan pimpinan parti yang hanya melihat PAS sekadar sebuah parti politik sehingga melupakan dua lagi agenda utama tadi.
Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa budaya yang dibawa oleh pimpinan PAS terutamanya Presiden PAS ialah budaya politik matang dan sejahtera yang menuntut kepada gerak kerja yang berasaskan al Quran, hadith, ijma' dan qias.
![]() |
Sebahagian daripada ahli dan penyokong yang hadir. |
"Oleh itu, kita mesti banyakkan sahabat dalam musuh dan bukan banyakkan musuh dalam sahabat. Elakkan daripada terjerumus kepada politik persepsi semata-mata tetapi kembali kepada politik yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat," tambah beliau lagi.
Beliau juga mengingatkan para amilin parti agar jangan lupakan senjata utama orang mukmin iaitu doa. Kadang-kadang akibat keghairahan bekerja untuk menang dalam pilihan raya, contohnya, kita terlupa untuk berdoa bagi setiap gerak kerja yang dilakukan bagi menepati konsep tawakal.
Liqa Fikri PAS Kawasan Teluk Intan bagi Mac ini telah dihadiri ahli-ahli dan penyokong dari cawangan-cawangan seluruh Teluk Intan. Turut hadir ialah Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Ismail Che Nik dan pimpinan kawasan yang lain.
intanhijau.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan